COVID-19: Langkah Diumum Kerajaan Lain Tapi Yang Dilaksanakan Lain – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas kerajaan Perikatan Nasional (PN) ekoran langkah diumumkan lain, tetapi apa yang dilaksanakan kerajaan PN lain.

Soal beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), jika begini keadaannya bila kes jangkitan COVID-19 dapat dikurangkan dan dilandaikan?

Beliau berkata demikian merujuk kepada makluman Kesatuan Sekerja yang mendakwa ada kilang bukan ‘essential’ dalam kawasan PKPD dapat kebenaran operasi dan pekerja diminta sedia kembali bekerja kerana majikan telah menerima surat daripada sistem CIMS 3.0 MITI.

“Dakwaan ini jika benar cerminan kepada kegagalan berterusan dalam pengurusan COVID-19,” tegas Ahmad Zahid menerusi kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

Walhal katanya, sektor perkilangan merekod jangkitan baharu tertinggi kluster tempat kerja bulan lalu malah sektor berkenaan dilaporkan telah pun mencatatkan 95,156 kes melibatkan 639 kluster ketika itu dan pada 9 Jun KKM laporkan 87% kluster baharu melibatkan kategori tempat kerja terutama kilang.

“Aduan dibuat oleh pekerja kilang terbabit. Saya percaya mereka bimbangkan jangkitan COVID-19.

“Langkah diumumkan kerajaan PN lain, tetapi apa yang dilaksanakan kerajaan PN lain,” ujarnya lagi.

Pada 3 Julai lalu Ahmad Zahid juga pernah mengulas mengenai isu sektor terbabit apabila seorang Menteri PN memaklumkan kluster kilang bukan penyumbang tinggi jangkitan Covid-19 sementara seorang menteri lain dan Ketua Pengarah Kesihatan pula memaklumkan bahawa kluster kilang penyumbang tertinggi jangkitan.

Dilaporkan, kes baharu COVID-19 yang direkodkan hari ini meningkat kepada 7,654 berbanding 6,387 kes semalam, sekali gus menjadikan kumulatif adalah 792,693 kes. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.