COVID-19: Ahmad Zahid Saran Perkemas SOP, Segerakan Suntikan Vaksin Pekerja

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Seramai 1,162 pekerja di 59 buah pasar raya disahkan dijangkiti COVID-19 sehingga 1 Julai 2021 yang menyebabkan operasi pasar raya terbabit terpaksa ditutup untuk tempoh tertentu.

Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa pendekatan segera perlu diambil termasuk menyegerakan suntikan vaksin terhadap pekerja.

Ini kerana katanya, hal terbabit menimbulkan persoalan yang amat besar mengenai SOP sedia ada di pasar raya.

“Sama ada SOP sedia ada di pasar raya berkesan membendung penularan wabak COVID-19.

“Perkara ini perlu diteliti sebaik mungkin. Ia bukan saja merisikokan warga pekerja. Malah meletakkan pengunjung dalam situasi berbahaya setiap kali membeli barang keperluan,” katanya dalam hantaran melalui facebooknya berkaitan isu terbabit.

Jelas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), pasar raya antara sektor perlu beroperasi semasa tempoh Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana jika tidak sukar orang ramai mendapatkan bekalan makanan.

“Selain memperkemas SOP sedia ada. Pemakaian ‘double facemask’ umpamanya.
Bukankah ramai pernah menyuarakan kebimbangan tentang penyebaran virus secara ‘airbone’.

“Belum ada SOP yang jelas bagi menangani penyebaran virus melalui bawaan udara ini. Boleh juga tempatkan penguatkuasa di premis ‘essential’ bagi memantau pengoperasian supaya pekerja dan pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan demi keselamatan mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.