Bukan Berpolitik… UMNO Terus Fokus Kebajikan Rakyat Terjejas, Hilang Pendapatan – Mohd Noor

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad memaklumkan bahawa bantuan dan perhatian UMNO bukan untuk berpolitik sebaliknya kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan khususnya mereka yang berdepan kesulitan ekoran pendapatan terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Katanya, UMNO negeri sentiasa cakna dengan permasalahan ini dan sentiasa mendekati golongan ini dengan memberikan bantuan barangan keperluan asas.

“Kita agihkan bantuan berupa makanan mentah seperti beras, telur, gula, minyak dan lain-lain lagi. Bantuan juga menfokuskan kepada orang sakit yang memerlukan kerusi roda dan bantuan ini akan berjalan secara berterusan.

“Ada juga individu yang sampaikan aduan itu melalui jawatankuasa bahagian jadi kita akan pergi melawat dan terus sampaikan bantuan kepada golongan ini.

“Kalau tidak ada aduan kita agih kepada cawangan-cawangan dan ketua-ketua cawangan akan pilih keluarga yang susah dan yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi UMNO Online baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan memaklumkan kebanyakan golongan yang menerima bantuan ini adalah disebabkan terputus pendapatan akibat kehilangan pekerjaan dan golongan yang berniaga.

“Kebanyakan yang hilang kerja, ada juga yang kerja sendiri tapi terlibat dengan kemalangan. Jadi kita tangani hal-hal yang berlaku ketika ini.

“Kalau yang ada gaji itu tidak ada masalah tapi yang diberhentikan kerja ini yang terkesan sepanjang tempoh PKP. Contoh di bahagian saya ada satu perkampungan nelayan, sudah semestinya ianya bergantung kepada pelancongan namun sekarang semuanya terputus.

“Jadi sejak PKP ini pendapatan mereka ini terjejas, mereka tidak boleh berniaga dan restoran tidak boleh dibuka kerana sektor ini semua ditutup,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.