Umum Tarikh Parlimen Tidak Ubah Hak UMNO Untuk Kekal Atau Keluar PN – Shahril

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Pengumuman tarikh Sidang Khas Parlimen oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak mengubah hak UMNO untuk kekal atau keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menegaskan, apa yang penting ialah segala perkara yang direncana harus dibahas secara telus.

“Apabila UMNO membantu mendefinisikan apa maksud segera dan secepat mungkin, barulah nampak tindak balas daripada kerajaan. Itu pun lambat.

“Apa pun, apabila sidang Parlimen bersambung, kita mengharapkan satu sidang Parlimen yang telus, yang benar-benar membahaskan segala isu, segala perkara yang wajib dibahaskan dan dibentang seperti Ordinan Darurat, pelan perbelanjaan dan Pelan Pemulihan Negara selaras dengan titah Yang diPertuan Agong.

“Tetapi soal sama ada UMNO berpuas hati atau tidak dan UMNO nak kekal bersama dalam kerajaan PN atau tidak, itu soal lain yang masih perlu diputuskan oleh parti,” katanya kepada Astro AWANI.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada pengumuman PMO berkenaan Sidang Khas Parlimen yang akan dimulakan di Dewan Rakyat pada 26 Julai ini.

Sidang Khas Parlimen dijadual berlangsung selama lima hari sebelum beralih ke Dewan Rakyat selama tiga hari bermula 3 Ogos.

“Mesyuarat ini bertujuan untuk memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

“Berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen,” memetik kenyataan itu. – AstroAWANI

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.