Isu Vaksin AZ, Penjelasan Segera Perlu Diberi – Jalaluddin

JELEBU, 5 Julai – Dalam dua tiga hari ini, heboh di media sosial berkenaan dengan isu pengiktirafan vaksin AstraZeneca (AZ) oleh Kesatuan Eropah (EU) yang dikatakan tidak mengiktiraf dan tidak akan membenarkan individu yang menerima suntikan vaksin AstraZeneca untuk masuk ke negara mereka.

Bagi Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias, beliau menggesa kerajaan menerusi kementerian yang berkaitan perlu segera mendapatkan penjelasan sebenar daripada pihak EU dan menyelesaikan isu salah faham ini.

“Larangan untuk masuk ke negara-negara EU, bukan masalah utama yang saya risaukan. Dalam keadaan sekarang ini, kemasukan rakyat Malaysia ke negara Eropah itu adalah begitu minimum. Tapi apa yang lebih merisaukan saya adalah isu ini bakal menggugat keyakinan rakyat untuk menerima vaksin.

“Saya difahamkan isu ini timbul bukan kerana faktor keselamatan vaksin tersebut, tapi lebih kepada isu birokrasi dan dokumentasi. Semakin lama isu ini berpanjangan, saya risau jika semakin ramai rakyat Malaysia yang ragu-ragu dan menolak vaksin ini,” ujar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi setakat 4 Julai 2021, jumlah pendaftaran bagi program vaksinasi ini adalah 17,244,667.

“Ianya adalah masih belum mencapai sasaran 80% penduduk Malaysia perlu divaksin bagi mencapai ‘herd immunity’. Untuk semua rakyat Malaysia, saya menyeru agar jangan takut untuk menerima vaksin ini. Bagi yang belum mendaftar, segeralah mendaftar.

“Kita pasti cemburu dengan banyak negara di Eropah yang seolah-olah sudah memperolehi semula kehidupan asal mereka. Semua itu kerana majoriti rakyat mereka telah divaksin.

“Kita masih belum menang,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.