Isu Teroka Tanah Haram: Gabungan Pertubuhan Melayu Islam Raub Sokong Penuh Tindakan Kerajaan Negeri Pahang

RAUB, 5 Julai – Gabungan Pertubuhan Melayu Islam Raub menyokong penuh tindakan tegas Kerajaan Negeri Pahang yang menguatkuasakan undang-undang ke atas penerokaan tanah secara haram untuk penanaman durian musang king di Tras, Raub.

Kata Penyelarasnya Fadzli Mohamad Kamal, mereka berdiri teguh di belakang Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan kerajaan negeri yang tidak berganjak seinci pun dengan keputusan demi manfaat rakyat dan negeri Pahang meskipun diasak oleh kelompok tertentu yang cuba mempolitikkan isu ini.

“Sehubungan itu, kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan pemimpin Dap yang bertindak memutar-belit isu ini. Ini bukan isu politik. Ini adalah soal undang-undang yang harus ditegakkan.

“Justeru, adalah tidak wajar Dap menyokong aktiviti penerokaan tanah secara haram terutama di kawasan Hutan Simpan Kekal yang berkeluasan hampir 250 ekar ini. Kenapa Dap menyokong aktiviti yang menyalahi undang-undang yang pada masa sama jelas memberi kesan buruk kepada ekosistem hutan untuk jangka masa panjang?

“Dulu Dap cuba menjadi hero di Sg. Ichat Cameron Highlands dalam kes penerokaan tanah secara haram untuk aktiviti pertanian. Kini berulang pula di Raub. Jangan hanya fikir untuk kepentingan undi semata-mata. Fikirlah soal kepentingan rakyat dan negeri secara keseluruhannya,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Seterusnya Fadzli juga menyeru kepada pihak penguatkuasa yang sedang menjalankan tugas, agar meneruskan khidmat bakti.

“Jangan gentar. Tiada siapa melebihi undang-undang. Sabar dan tabah meskipun dihina dan diprovokasi oleh peneroka haram dan pemimpin Dap. Sesungguhnya, besar jasa dan sumbangan anda kepada rakyat dan negeri ini,” katanya.

Berhubung perkara itu juga, Fadzli berkata pihaknya menggesa pelaku-pelaku yang menghina dan menghalang tugas Penjawat Awam dikenakan tindakan tegas di sisi undang-undang.

“Ribuan rakyat Pahang telah hadir ke Himpunan Anti Penerokaan Tanah Haram anjuran Gabungan Pertubuhan Melayu Islam Raub pada 3 September tahun lalu di Raub bagi menentang sebarang aktiviti penerokaan tanah secara haram termasuklah untuk penanaman musang king.

“Dalam hal ini, rakyat Pahang sentiasa bersatu hati menyokong ketegasan Kerajaan Negeri Pahang dalam menguatkuasakan undang-undang,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.