Ismail Sabri Buat Laporan Polis Kenyataan Fitnah Pemilik Akaun Facebook

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat laporan polis berhubung kenyataan pemilik akaun Facebook bernama Lokman Adam berhubung tuduhan fitnah terhadap beliau.

Laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, jam 2.30 petang tadi.

“Saya telah diarahkan untuk membuat laporan ini berkaitan dengan video yang saya telah teliti ketika saya berada di sekitar Pusat Dagangan Dunia (WTC) lebih kurang jam 11 pagi bertarikh 4 Julai 2021.

“Saya meneliti sebuah video berdurasi 1 jam dan 42 saat yang telah dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook bernama Lokman Adam,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata setelah meneliti isi kandungan video tersebut beliau dapati dengan jelas pemilik akaun tersebut telah membuat fitnah dan hasutan kepada Naib Presiden UMNO Malaysia itu bermula minit ke 3.00 sehingga akhir video.

“Saya diberitahu oleh beliau sendiri bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang penyataan-penyataan yang dihuraikan pada perenggan berikut:

Pemilik akaun Facebook Lokman Adam ini membuat tuduhan bahawa Ismail Sabri cuba meyakinkan ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menjadi calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika tidak dipilih sebagai calon UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang dengan ayat antara lain.

Untuk makluman tuan-tuan, lagi menyedihkan, ketika menteri Perintah Kawalan Pergerakan ini cuba meyakinkan dan sampai ke tahap tuan-puan mengatakan bahawa sekiranya kita tidak dipilih menjadi calon pilihanraya yang akan datang, bila-bila masa kita boleh menjadi calon parti Bersatu yang hari ini kita tahu tidak cukup orang yang berwibawa’ dan seterusnya.

“Pelbagai tuduhan dan cacian yang dilemparkan oleh pemilik akaun Facebook Lokman Adam ini terhadap beliau.

“Dengan ini, tujuan saya membuat laporan ini ialah untuk memohon pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan dan meneruskan pendakwaan ke atas pemilik akaun ini seperti link yang dinyatakan https://fb.watch/v/IVO2IRIL/takan ,” tegas beliau.

Syed Mohd Fazmi juga memohon PDRM menyiasat mengikut akta-akta berkaitan dengan fitnah iaitu Akta Hasutan 1948 , Akta AntiBerita Tidak Benar (Akta 803) dan Akta SKKM (Akta 1998) kerana secara jelas pemilik akaun tersebut telah sewenangnya membuat tuduhan terbuka dan menyebabkan kerosakan kepada imej Ahli Parlimen Bera itu. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.