Zahid Terus Bertekad Suarakan Kepentingan Rakyat

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus bertekad untuk menyuarakan kepentingan rakyat di seluruh negara yang hari ini rata-rata terkesan.

Serentak itu beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menyeru agar pasukan-pasukan siber di sebelah sana agar berhentilah mempertahankan kegagalan berterusan yang menyebabkan rakyat terus menderita.

“Saya menyeru kepada pasukan-pasukan siber di sebelah sana berhentilah. Apakah anda tidak rasa bersalah mempertahankan sebuah kegagalan berterusan. Adakah anda langsung tiada “empathy” terhadap rakyat yang sedang dihimpit kesengsaraan.

“Apakah anda tidak berasa bimbang negara seakan-akan di landasan yang tersasar? Tetapi saya percaya dalam sanubari anda tahu keadaan rakyat. Keadaan negara ketika ini. Rakyat adalah saudara mara, rakan-rakan, jiran tetangga anda. Malaysia tanah air anda,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Ahmad Zahid seterusnya mengingatkan agar masing-masing memahami segala denyut nadi dan keluh kesah rakyat yang hari ini terus dihimpit dengan senario semasa.

“Selamilah denyut nadi rakyat, rintihan, keluhan, penderitaan dan kerisauan mereka. Dalam keadaan sekarang rakyat adalah keutamaan. Negara masa depan bersama. Jangan lupa ada sebahagian anggota masyarakat kita tidak ‘bermazhab’ politik.

“Mereka hanya mahu hidup selesa di sisi keluarga. Fikirkan tentang mereka juga. Dan kerana itu saya dan UMNO akan terus menyuarakan kepentingan rakyat serta negara,” ujarnya. – UMNO Online