Sidang Parlimen Perlu Bersemuka… Beri Cadangan, Semak Imbang Untuk Rakyat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secara bersemuka dan bukan secara hibrid.

Jelasnya, sekali lagi semua pihak perlu yakin dengan vaksinasi yang telah dibuat melibatkan semua ahli-ahli Parlimen.

“Sekali lagi perlu yakin dengan vaksinasi yang telah dibuat. Pegawai tak perlu hadir ramai. Pemandu boleh hantar dan keluar,” jelasnya menerusi ciapan dalam laman Twitternya, hari ini.

Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian menzahirkan rasa setuju dengan pandangan dari Tan Sri Noh Omar yang mahukan pendekatan bersemuka dalam sidang Parlimen agar sesi perbahasan dalam sesuatu isu dapat dilaksanakan dengan mana-mana ahli Parlimen dapat meminta penjelasan.

Tegas Ahmad Maslan, yang terpenting adalah tanggungjawab beri cadangan-cadangan dengan, semak dan imbang boleh dilaksana.

“Apa yang Ahli Parlimen ingin buat di Dewan Rakyat adalah hak mereka. Ada yang cadang, bangkang, usul, mencelah, tanya, mengundi.

“Memang kami sebagai wakil rakyat akan suarakan suara rakyat sebaik mungkin.

“Dan masih tunggu bila tarikhnya. Sidang perlu jumlah hari yang cukup, contoh 20 hari,” katanya lagi.

Dilaporkan, pada 30 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi bertitah supaya Parlimen bersidang secepat mungkin bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan. – UMNO Online