Semak Kegagalan Pelaksanaan ‘Total Lockdown’- Mustafa Shah
KUALA LUMPUR, 4 Julai – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata kerajaan wajar menyemak semula pelaksanaan ‘total lockdown’ ketika ini yang gagal memberi hasil seperti mana diharapkan dan negara masih mencatat peningkatan kes COVID-19.
Ini kerana katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur akan memberi tekanan kepada rakyat yang sememangnya telah rimas dengan PKP yang berpanjangan.
“PKP yang panjang bukan saja memberi kesan kepada norma hidup masyarakat, sebaliknya juga memberi kesan kepada ekonomi rakyat khususnya peniaga kecil dan mereka yang bergaji hari. Sampai bila kita harus dalam keadaan begini sedangkan rakyat semakin hari semakin menderita.
“Pelaksanaan PKP separuh masak dan kegagalan kita mengawal operasi kilang merupakan punca utama kepada peningkatan kes COVID-19 di negara ini khususnya di Lembah Klang.
“Oleh itu satu ‘post mortem’ perlu dilakukan segera oleh kerajaan bagi mengenal pasti perkara ini khususnya membabitkan operasi kilang dan tapak pembinaan ketika PKP,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Justeru kata Mustafa lagi, operasi kilang dan tapak pembinaan ketika PKP perlu diberi perhatian serius dan diteliti pengoperasiannya kerana ada di kalangan mereka yang masih beroperasi meskipun puluhan kakitangan disahkan positif COVID-19.
Malah ujar Mustafa, ada sebahagian kilang dan tapak binaan tidak melaporkan mengenai kes positif COVID-19.
“Ini yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan termasuk mempercepatkan usaha vaksinasi pekerja-pekerja kilang dan tapak pembinaan,” tegasnya. –UMNO Online