Moratorium 2.0: Bagi Macam Tak Nak Bagi

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Dalam Wawancara Money Matters yang disiarkan petang semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendakwa bahawa Bank bakal rugi RM20 bilion jika memansuhkan faedah semasa moratorium.

Isu utama yang Pemuda UMNO bangkitkan sebelum ini setelah mendapat pelbagai maklum balas daripada rakyat ialah ketidak-seragaman dari segi penawaran Moratorium oleh Bank-bank, sehinggakan Rakyat dipaksa untuk membayar balik jumlah pinjaman dengan faedah yang lebih tingi nilainya dan amat membebankan.

Maybank umpamanya meletakkan syarat jika Rakyat memilih untuk Moratorium selama 3 bulan maka tempoh pinjaman akan dipanjangkan kepada 12 bulan, manakala jika Moratorium 6 bulan dikenakan lanjutan pinjaman 24 bulan. Ini pastinya memberi makna bahawa Rakyat dipaksa membayar balik pinjaman dengan kadar lebih tinggi jika memilih untuk mengambil Moratorium kerana Bank mengenakan caj/faedah tambahan.

Maknanya Bank tidak rugi apa-apa bahkan mengaut keuntungan lebih banyak atau dengan kata lain Bank mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat.

Ini dibuktikan dengan keuntungan bersih berbillion-billion ringgit bank-bank utama bagi tahun kewangan berakhir 2020; Maybank RM6.48 bilion, Public Bank RM4.87 bilion, CIMB Bank RM1.19 bilion, Hong Leong Bank RM1.40 bilion, RHB Bank RM1.80 bilion dan Ambank RM0.87 bilion; walaupun bank-bank menawarkan Moratorium bagi tempoh 6 bulan (1 April 2020- 30 September 2020).

Pemuda UMNO juga telah mengemukakan 10 Cadangan yang memerlukan campur tangan Menteri Kewangan melalui Bank Negara Malaysia dan 3 Punca Kuasa iaitu Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Akta Bank Negara 2009 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Antara cadangan termasuklah menyeragamkan kaedah penawaran, kaedah pengiraan faedah, memperkenalkan Zero-Interest Rate Policy yang akan memungkinkan Bank mengurangkan atau memansuhkan faedah dalam tempoh polisi ini dibuat kerana ‘cost of fund’ yang amat minima, memberikan insentif cukai bagi bank yang tidak memindahkan faedah terakru semasa tempoh moratorium kepada rakyat di penghujung tempoh bayaran balik, memanfaatkan konsep ‘Value-Based Intermediation’ yang baru diperkenalkan Bank Negara dan mengadakan satu tabung khas yang mengumpulkan sebahagian keuntungan bank-bank bagi menyerap sebarang kemungkinan kerugian bank akibat penawaran Moratorium. (Boleh rujuk 10 Cadangan Pemuda sebelum ini)

Apapun alasan bak kata pepatah ‘Nak Seribu Daya, Tak Nak Seribu Dalih’. Menteri kena lebih menjiwai kepayahan rakyat bawahan barulah boleh memikirkan secara kreatif dan inovatif bagaimana nak membantu rakyat di kala krisis luar biasa Pandemik ketika ini.

Kami selalu ingatkan kepada industri perbankan, jangan sesekali lupa peristiwa besar krisis kewangan 1997-98, berbilion wang rakyat digunakan untuk menyelamatkan bank-bank pada waktu itu bagi tujuan memindahkan pinjaman tak berbayar (non-performing loan) kepada Danaharta dan Danamodal. Apakah ketika rakyat tengah susah Bank-Bank tidak pula bersedia berkorban pula demi rakyat yang kesempitan ketika ini?

Tepuk Dada Tanyalah…….?

#PemudaJurubicaraRakyat

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Ketua Pemuda UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.