Bendera Putih Atau Merah…Pupuk Semangat Saling Membantu, Beri Impak Positif – Pemuda UMNO Sabah

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata kempen bendera putih mahu pun merah sebenarnya mengingatkan kepada sikap saling bantu membantu di kalangan masyarakat khususnya pemimpin dalam usaha membantu rakyat yang memerlukan.

Namun jelas beliau usaha pihak-pihak tertentu yang turut mewar-warkan kempen bendera hitam merupakan pendekatan negatif yang tidak membawa impak sama sekali.

“Saya sangat bersetuju dan gembira apabila kempen bendera putih dan merah dibuat kerana ianya mengingatkan kepada kita peri pentingnya saling bahu membahu untuk membantu golongan yang amat memerlukan. Saya fikir ini sesuatu pendekatan positif yang boleh mencetuskan banyak impak positif termasuklah memupuk budaya saling membantu.

“Memang agak sukar untuk kita tentukan tahap kesulitan yang dihadapi oleh masyarakat yang terkesan, kerana memang semua terkesan. Cuma bendera putih ini maknanya tunjukkan tahap yang sudah memerlukan perhatian bukan sahaja daripada jiran sekeliling tetapi pemimpin masyarakat setempat untuk disampaikan kepada kerajaan betapa ramai rakyat yang sedang hidup susah.

“Berbeza dengan Kempen bendera Hitam, saya melihat ianya adalah satu cara pendekatan negatif yang tidak akan membawa impak positif sama sekali. Ianya hanya akan mendorong kepada impak negatif seperti benci, marah, amuk, protes dan sebagainya yang sama sekali tidak akan membantu Malaysia memenangi Perang melawan COVID-9,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Aziz seterusnya percaya kempen bendera hitam ini diilhamkan oleh ahli-ahli politik yang hanya mahu menangguk di air keruh untuk menghasut rakyat untuk marah kepada kerajaan yang boleh menyebabkan rusuhan dan kekacauan di dalam negara ini.

“Ahli-ahli politik perlu berhati-hati dgn keghairahan mereka meraih publisiti tetapi jgn melampau sehingga merosakkan keamanan negara ini dengan hasutan yang keterlaluan seperti mana yang dilakukan mereka dahulu. Malaysia hanya akan menang kalau kita jaga perpaduan dan keamanan kita,” ujarnya.- UMNO Online

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.