Wajar Pertimbangkan Moratorium Pinjaman Perumahan LPPSA – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 3 Julai –  Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia banyak menerima maklum balas berupa rintihan dan keresahan penjawat awam yang kebanyakannya kumpulan sokongan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata mereka mengharapkan agar moratorium bayaran balik pinjaman dapat dipanjangkan pelaksanaannya untuk pinjaman perumahan Lembaga Pinjaman Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

“Rata-rata mengeluh walaupun mengakui akan gaji dan emolumen mereka tidak terjejas, namun penguatkuasaan PKP dan Lockdown yang berpanjangan sangat memberi kesan yang besar pada pola pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang yang mempunyai pasangan yang bekerja di sektor swasta dan telah putus mata pencarian.

“Malahan pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) oleh Kerajaan telah meningkatkan perbelanjaan kehidupan harian yang lain seperti bil utiliti elektrik, air, internet dan makanan.

“Melalui pemanjangan moratorium LPPSA, penjawat awam diharapkan dapat menyusun semula kewangan keluarga dan merancang perbelanjaan untuk memastikan kesejahteraan ahli keluarga terjaga,” tegas beliau menerusi hantaran di Facebook.

Kata Asyraf lagi, malah bagi Pemuda UMNO polisi Kerajaan mengenai Moratorium tidak hanya perlu difokuskan kepada Institusi Perbankan semata-mata, sebaliknya, moratarium pinjaman-pinjaman lain yang ditawarkan oleh Kerajaan sendiri seperti LPPSA ini dan agensi-agensi Kerajaan yang lain seperti MARA, PTPTN dan PTPK seharusnya lebih diutamakan.

“Justeru, Pemuda UMNO Malaysia menyokong penuh saranan CUEPACS dan mendesak agar Kerajaan segera melaksanakannya!,” katanya lagi. –UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.