Rakyat Terus Menderita, Penularan COVID-19 Bukan Turun Tapi Makin Berganda – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa rakyat terus menderita, dalam kesusahan dan kesengsaraan disebabkan penularan COVID-19 bukan semakin turun sebaliknya semakin berganda.

Beliau berkata demikian berikutan terkini (3 Julai 2021) 6,658 kes baharu dilaporkan, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 66,958 kes menjadikan jumlah kes positif 772,607.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan sama kerajaan PN telah gagal melaksanakan amanah Yang di-Pertuan Agong?

“Iaitu Proklamasi Darurat sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak COVID-19 dan melandaikan kes positif harian.

“Mungkinkah kerana itu juga hashtag #kerajaangagal semakin trending di media sosial sehingga hari ini? Jawapannya rakyat jua mengetahui,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya.

Jelas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Proklamasi Darurat diperkenan Yang di-Pertuan Agong pada 12 Januari 2021 adalah di atas nasihat Perdana Menteri.

“Bagaimanapun ada perkara penting dititahkan Yang di-Pertuan Agong berhubung Proklamasi Darurat semasa ia diperkenankan iaitu Proklamasi Darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

“Ini kerana baginda amat prihatin terhadap keselamatan rakyat dan kepentingan negara disebabkan kes wabak telah mencecah empat angka.”

Ujarnya, ketika itu 2,232 kes baharu dilaporkan dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 28,554 kes menjadikan keseluruhan kes positif 138,224.

“Kini selepas kira-kira setengah tahun Proklamasi Darurat berlangsung kes jangkitan COVID-19 kekal empat angka malah semakin tinggi,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.