Menteri MITI Masih Pertahan Pembukaan Kilang, Rakyat Makin Sengsara – Dr Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR, 3 Julai – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) masih lagi mempertahankan pembukaan kilang yang merupakan penyumbang terbesar jumlah kes COVID-19 yang tinggi ketika ini, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Jelas beliau, pembukaan kilang yang di bawah MITI ini menyebabkan rakyat semakin sengsara akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang separuh masak ini.
“Menteri MITI, (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) ini rasanya sudah ‘mati rasa’! Masih mahu mempertahankan pembukaan kilang.
“Takkanlah masih tidak boleh memahami rasa hati rakyat yang menderita akibat PKP separa masak dan pendekatan ‘Total Lockdown’ yang tak berapa penuh, yang ternyata gagal berterusan!
“Semua data menunjukkan punca utama penularan COVID-19 adalah daripada kilang. Sejak awal lagi Pemuda UMNO setuju ‘Total Lockdown’ untuk tempoh 14-21 hari dengan syarat ada bantuan dan buatlah betul-betul,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambah Dr Asyraf lagi, rakyat sudah bosan dan letih kerana dipaksa berkurung dan ber-PKP selama enam bulan yang sudah meragut nyawa lebih 5,000 orang akibat COVID-19, tidak termasuk kes-kes bunuh diri yang melangkaui angka 600 orang akibat tekanan.
“Kalau masih berdegil mahu buka kilang-kilang ini, tiada gunanya meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ataupun Total Lockdown! Rakyat biasa dipaksa berkurung hingga menderita berulang-kali, sedangkan tauke-tauke ditatang hingga pandemik menular tiada tanda berhenti!,” tegasnya.- UMNO Online