Rakyat Semakin Keliru, Dipermainkan Cara Kerajaan PN Tangani COVID-19 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 2 Julai – “Rakyat semakin keliru dan sangsi dengan cara kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan pandemik COVID-19,” demikian luahan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan keadaan semasa yang dihadapi rakyat pada ketika ini.

Jelas beliau, rakyat juga berasa seolah-olah dipermainkan kerana sia-sia sahaja lebih tiga puluh hari berkorban menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun kes harian yang direkodkan tidak mencatat penurunan.

“Itu belum tentang kaedah Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3, Fasa 4 yang memusykilkan. Apabila ditegur total lockdown separuh masak, suam-suam kuku geng PN marah.

“Dituduh bercakap seperti pembangkang, konon kuat merungut, main politik. Kes tetap tinggi. Tarikh 3 Julai baru seakan-akan mahu kuatkuasakan total lockdown yang sebenar.

“Namun dijenamakan sebagai PKPD tidak pasti mengapa. Itupun di Selangor dan beberapa kawasan di Kuala Lumpur sahaja. Bagaimana di negeri lain?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) kesal kerana pelaksanaan PKP ini juga masih membenarkan sektor pengilangan untuk beroperasi.

“Walhal kerajaan PN mengakui sedang berlaku penularan tiga varian baharu yang lebih ganas. Varian Beta B.1.351 (Afrika Selatan), Delta B.1.617.2 (India) dan Alpha B.1.1.7 (UK).

“Apakah mahu tunggu sehingga negeri lain turut melaporkan purata kes harian 1,800 ke 1,900? Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada 14 Jun pernah kata sektor pengilangan merekodkan jangkitan tertinggi.

“Seorang menteri PN bagaimanapun kata bukan. Katanya tidak adil menyalahkan sektor pengilangan. Jika begitu bila masalah pandemik ini dapat dibendung secara mutlak?” soal beliau.

Ahmad Zahid malah mempersoal sampai bilakah rakyat boleh kembali menjalani kehidupan secara normal dengan sempadan negeri dibuka.

“Rakyat juga tidak boleh bertahan terlalu lama dengan moratorium 6 bulan dan i-Citra RM1,000 x 5 bulan. Sebab itu kerajaan PN tetap disaran melaksanakan PKP penuh atau total lockdown di seluruh negara.

“Lakukan untuk satu tempoh yang munasabah kerana ia kaedah yang lebih pantas. Kita tidak mahu kerajaan PN dilihat seakan-akan mahu ‘perlahan-perlahan kayuh’.

“Sebab itu juga Parlimen kena segera bersidang untuk suara rakyat kembali didengari. Kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) cukup-cukuplah memutar belit fakta cuba memanipulasi persepsi rakyat,” tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu. – UMNO Online