Kenapa Bantah Bendera Putih… Sepatutnya Bersangka Baik Bantu Rakyat – Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dengan sinis mempersoal pihak tertentu yang tidak bersetuju dengan kempen menaikkan bendera putih.

Kempen tersebut yang bermula di media sosial mengajak orang ramai untuk mengibarkan bendera berwarna putih sekiranya memerlukan bantuan.

“Kenapa bantah bendera putih?

“Kerana ia propaganda politik. Motifnya ialah untuk burukkan dan jatuhkan kerajaaan Perikatan Nasional (PN)?

“Ada pula yang beranggapan, jika PN jatuh bukan bendera putih yang berkibar. Bendera DAP yang akan naik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Puad lagi, tidakkah yang membantah itu yang sebenarnya main politik kerana gentar kerajaan PN akan mendapat malu dan jatuh.

“Ada pula yang berpendapat bendera putih cerminkan sikap mengalah dan berputus asa. Mereka bukan tidak mahu kerja dan mengemis di tepi jalan.

“Tetapi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka hilang kerja dan sumber pendapatan. Tempat kerja tutup atau bisnes kecil tutup.

“Ambil contoh pekerja hotel, tukang gunting rambut, pengusaha car wash dan lain lain. Mereka itu malas kerja ke?

Jelas beliau lagi golongan yang terjejas ini bukan menaikkan bendera putih sepanjang hayat atau setiap hari.

“Sumbangan yang mereka terima pun boleh bertahan seminggu sahaja.

“Sepatutnya pemimpin dan orang agama lebih sesuai ambil sikap husnuzon iaitu bersangka baik,” jelas beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.