Kempen Bendera Putih Usaha Terpuji… Manifestasi Kekecewaan Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kebimbangan beliau dengan kesulitan yang dihadapi rakyat yang berdepan dengan kemelut kewangan ketika negara masih dengan penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata kempen bendera putih inisiatif yang dicetuskan oleh netizen merupakan manifestasi kekecewaan rakyat kerana mendapati ramai hidup dalam kesulitan.

“Netizen Malaysia memang hebat kreativiti mereka tiada tolok bandingan. Namun ada perbezaan pendapat mengenai kewajarannya.

“Sebilangan menyokong. Sebilangan menganggap ia mengaibkan sesebuah keluarga. Bagaimanapun terserah kepada penerimaan masing-masing tentang bendera putih.

“Mungkin pada mereka itu kaedah paling berkesan untuk dapat bantuan segera. Mahu menunggu i-Citra dan moratorium automatik lambat lagi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau doa perlu seiring dengan usaha iaitu termasuk dalam mengibarkan bendera putih.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga percaya bahawa anggota masyarakat perlu terus peka dengan persekitaran mereka.

“Mungkin ada berasa segan untuk menyatakan mereka dan keluarga mereka dalam kesusahan. Saya difahamkan banyak persatuan penduduk dan pengurusan surau di sesebuah kawasan mewujudkan grup Whatsapp untuk penduduk dan kariah.

“Sampaikan pesanan kepada semua siapa memerlukan bantuan sila private message. Supaya persatuan penduduk dan pengurusan surau dapat ikhtiarkan sesuatu untuk membantu.

“Terutama bagi mereka yang sebelum ini tiada dalam senarai asnaf persatuan penduduk dan pengurusan surau,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.