Janji Bank Tidak Kenakan Faedah Terkompaun… Kita Pantau Moratorium Automatik – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Mungkinkah berita media arus perdana tentang Menteri Kewangan menyatakan moratorium automatik 2.0 dikenakan faedah telah disekat?

Demikian persoalan yang ditimbulkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung tajuk berita itu yang masih masih boleh dilihat dalam talian antaranya ‘Moratorium: Kadar faedah bergantung kepada Bank’.

Jelasnya, ada juga berita bertajuk ‘Pemulih: Moratorium bukan tanpa faedah’, tetapi apabila cuba diakses kedua-duanya Error 404 Page Not Found.

“Kemudian terbit berita Menteri Kewangan menjelaskan tiada faedah terkompaun bagi moratorium automatik.

“Menteri Kewangan minta rakyat buat aduan jika bank menaikkan faedah terkompaun serta caj penalti ke atas moratorium.

“Berita yang ini tiada notis Error 404 Page Not Found. Boleh diakses dan dibaca dengan mudah dan cepat,” katanya dalam hantaran dalam laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Bagaimanapun ujar Ahmad Zahid, ada media alternatif kekal melaporkan Menteri Kewangan ada menyatakan moratorium diumumkan kerajaan bukan tanpa faedah.

“Tidak mengapalah sama ada hal itu disebabkan Menteri terlepas cakap atau ia langkah ‘damage control’ yang penting beliau telah berjanji.

“Berjanji bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun atau penalti lewat bayar kepada peminjam yang memohon moratorium automatik.”

Bagaimanapun tegas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), rakyat jangan sesekali alpa dan perlu pantau perkembangan moratorium automatik ini.

“Jangan pula nanti disangkakan panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.

“Ku sangkakan moratorium tanpa faedah, rupa-rupanya bank sambil menyelam minum air.

“Insya-Allah apabila Parlimen kembali bersidang lebih mudah untuk kita sama-sama pantau perkara ini,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.