Situasi Genting COVID-19… Ahmad Zahid Saran Serap Pegawai Perubatan Kontrak

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar pegawai perubatan kontrak Kementerian Kesihatandiserap dalam perkhidmatan memandangkan khidmat mereka sangat penting.

Katanya, negara sedang berdepan situasi genting pandemik COVID-19 ketika ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian berikutan baru-baru ini timbul dakwaan pegawai perubatan kontrak Kementerian Kesihatan mahu mogok gara-gara tidak berpuas hati berhubung isu status lantikan tetap tidak dilayan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Difahamkan mogok dirancang diadakan pada akhir Julai. Suatu perkembangan yang amat serius dan membimbangkan. Keputusan menang-menang perlu dicapai segera. Pada waktu kita menyokong tuntutan mereka, namun adalah diharap mogok itu tidak berlangsung.

“Kita bimbang tindakan tersebut akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam negara.

“Saya sendiri pernah membangkitkan perkara serupa pada 14 Jun lalu. Menyarankan mereka diserap memandangkan khidmat mereka sangat ‘essential’ dalam perang melawan COVID-19,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit menerusi laman facebooknya, hari ini.

Jelasnya, Menteri Kesihatan memaklumkan isu itu akan segera dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Semoga penyelesaian terbaik dapat dicapai demi rakyat dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.