Pelan Pemulihan Negara Seharusnya Diperincikan… Segerakan Pemulihan Kehidupan Rakyat – Shahrir Samad

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad memaklumkan sudah ramai yang berpendapat Pelan Pemulihan Negara (PPN) seharusnya diperincikan kepada pelan pemulihan berasaskan negeri-negeri.

Ini kerana katanya, melalui Pelan Pemulihan Negeri-negeri, maka pendekatan secara negeri mampu menyegerakan pemulihan kehidupan dan hidup rakyat dari bawah dan tidak secara limpahan dari kota raya dan negeri-negeri besar dan maju.

“Memanglah pemikiran neo-liberal, segala-segalanya adalah tertumpu kepada yang besar dan maju. Pertumbuhan ekonomi dan kemewahan difikirkan lebih rancak kalau yang kaya bertumbuh dulu. Kemewahan itu akan melimpah ke bawah, ikut pemikiran ini.

“Teori ekonomi neo-liberal ini diguna juga dalam memerangi wabak COVID-19, sedangkan mengguna ambang nilai nasional menghalang negeri dan wilayah yang mempunyai kes harian yang rendah tersekat dari pemulihan lebih awal,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

Ujar beliau, tanpa perbahasan dan perbincangan yang kalau tidak di Parlimen pun, mungkin boleh dilakukan secara berkumpulan fokus dengan wakil-wakil rakyat, maka strategi PPN boleh ditambahbaik.

“Ingatkan era ‘Government Knows Best’ sudah lama berakhir. Ia kembali balik apabila Darurat dijadikan helah tidak ada sidang Parlimen.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.