Kali Ketiga Titah Agong, Semoga Tiada Lagi ‘Spin’ Definisi ‘Secepat Mungkin’ – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Semoga tiada lagi `spin’ mengenai definisi `secepat mungkin’ oleh mereka yang berat hati mahu membenarkan Parlimen bersidang, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ini kerana kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi bertitah supaya Parlimen bersidang secepat mungkin.

“Kali ini baginda menitahkan perkara itu ‘direct’ kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua Dewan Negara. Ia bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Al-Sultan Abdullah malah bertitah Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 meneruskan sesi mesyuarat sebagai pelaksanaan mekanisme semak dan imbang.

“Ini bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab dalam menangani isu-isu dasar awam, kemasyarakatan, hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu perkongsian di Facebook.

Justeru Ahmad Zahid berpandangan rakyat dapat membuat kesimpulan tersendiri mengapa agaknya sehingga Duli Yang Maha Mula Yang di-Pertuan Agong bertitah sedemikian rupa.

“Istana Negara menegaskan pandangan dan seruan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-Undang.

“Apapun ini kali ketiga Yang di-Pertuan Agong bertitah untuk Parlimen bersidang. Pertama pada 24 Februari, kedua pada 16 Jun dan terbaru pada 29 Jun 2021.

“Maka tiada alasan lagi untuk kerajaan PN (Perikatan Nasional) berlengah-lengah kerana Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara, Dewan Negara dan Dewan Rakyat telah mengulangi titah baginda,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.