Tiada Keperluan Adakan Sidang DUN Khas – MB Johor

JOHOR BAHRU, 1 April – Belum ada keperluan untuk kerajaan Johor mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meneliti keberkesanan belanjawan serta dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri, kata Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.

Beliau berkata ini kerana pelaksanaan setiap program yang digariskan di bawah Belanjawan Negeri 2021 dipantau oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Setiap perkara yang dibincangkan dalam DUN dipantau dan dilaporkan dalam mesyuarat mingguan Exco. Malah dalam ordinan darurat juga kita boleh meneruskan pentadbiran dan perbelanjaan sekiranya kita memerlukan bajet tambahan dan sebagainya.

“Jadi, tidak ada yang menggugat atau melambatkan proses untuk menjalankan sesuatu program di peringkat masyarakat. Oleh itu, buat masa ini belum ada keperluan untuk kita mengadakan satu sidang khas untuk melihat semula dasar atau mengkaji semula keberkesanan belanjawan, program-program yang dibuat oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Sambutan Hari Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) ke-75 Peringkat Negeri Johor, di sini hari ini.

Hasni mengulas desakan beberapa wakil rakyat pembangkang yang mahukan kerajaan negeri mengadakan sidang DUN alternatif.

Sementara itu, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor memberi jaminan kerajaan negeri tersebut akan bersama-sama kerajaan pusat bagi memastikan program dan perancangan kerajaan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Adalah menjadi tanggungjawab dan hasrat kerajaan negeri untuk menterjemahkan rancangan kerajaan pusat dengan sebaik-baik yang mungkin. Maka (oleh itu), pendekatan atau kaedah yang diamalkan oleh kerajaan akan kita teruskan iaitu meletakkan kepentingan negeri dan rakyat di paling hadapan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.