Perak Beri 20,000 Telefon Pintar, 50,000 Sim Kad Dan Data Percuma Bagi Pelajar Terpilih

BOTA, 1 April – Sebanyak 20,000 telefon pintar berserta sim kad dilengkapi pelan data 10GB setiap bulan secara percuma selama setahun diberikan kepada murid dari keluarga B40 terpilih seluruh daerah Negeri Perak.

Jelas Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, inisiatif di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani itu turut menawarkan 50,000 sim kad dengan pelan data 40GB bagi tempoh 60 hari kepada pelajar terpilih.

“Inisiatif melibatkan pemberian sebanyak 20,000 unit telefon pintar, berserta sim kad yang dilengkapi dengan pelan data sebanyak 10GB setiap bulan secara percuma untuk tempoh satu tahun,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Penyerahan Telefon Pintar melalui Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Dewan Dato’ Ahmad Hambal di sini hari ini.

Inisiatif ini merupakan sumbangan daripada Yayasan YTL dan usaha dari Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri bagi mengupayakan pendidikan murid keluarga berpendapatan rendah.

Pengerusinya, Ahmad Saidi Mohd Daud berkata, inisiatif tersebut secara tidak langsung memberi manfaat kepada 70,000 murid.

“Walaupun sesi persekolahan telah mula dijalankan pada Mac lalu, kerajaan negeri komited dalam memastikan murid-murid khususnya yang kurang berkemampuan dapat manfaat daripada bantuan yang disediakan,” ujarnya.

Jelasnya, kerajaan negeri akan terus memberikan komitmen bagi memastikan tiada golongan yang dipinggirkan dalam sistem pendidikan. – Komunikasi Strategik Perak [Stratcom]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.