Melaka Hargai Sumbangan RTM Bantu Usaha Pembangunan Negeri – Ketua Menteri

MELAKA, 1 April – Kerajaan negeri Melaka menghargai jasa dan sumbangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai medium penyampaian berita dan informasi yang berkesan untuk membantu usaha pembangunan negeri.

Ketua Menterinya Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata selain itu, RTM juga berperanan menyemai perpaduan dalam jiwa seluruh rakyat Malaysia khususnya di negeri kelahiran Hang Tuah itu.

“Lebih-lebih lagi, pada masa negara berhadapan dengan pandemik COVID-19, RTM terus memainkan peranan sebagai penyiar utama yang diyakini dalam menyiarkan pengumuman rasmi perkembangan semasa wabak berkenaan tanpa mengira masa dan situasi, sekali gus mengelakkan penyebaran berita palsu yang mengelirukan rakyat.

“Kerajaan negeri Melaka menyanjung tinggi peranan dimainkan oleh warga RTM dalam menyebar luaskan segala informasi dan dasar kerajaan negeri kepada rakyat negeri Melaka, meliputi semua aspek pembangunan negeri seperti ekonomi, kesihatan, pelancongan dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Ulang Tahun RTM ke-75 dan Pelancaran Logo Baharu MELAKAfm di Auditorium RTM Melaka di sini, yang turut dihadiri Pengarah Penyiaran Melaka Mohd Yusni Mohammed Ali dan Timbalannya Fitri Al-Ibni Nadzri.

Sementara itu, Sulaiman berkata program Bicara Ketua Menteri yang bersiaran sebulan sekali setiap Khamis selama 30 minit menerusi MELAKAfm, memberi peluang kepada beliau untuk menyampaikan maklumat terkini berhubung perkembangan negeri dengan lebih tepat terutama menjawab persoalan dibangkitkan rakyat menerusi aplikasi WhatsApp dan laman Facebook saluran radio berkenaan.

Beliau juga berharap agar RTM Melaka terus berperanan membantu kerajaan negeri mempromosikan sektor pelancongan yang menjadi sumber ekonomi utama di negeri berkenaan menerusi liputan berita dan penerbitan rancangan-rancangan siarannya dalam usaha membantu merancakkan kembali sektor itu yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.

“Harapan saya, semoga RTM, yang terkenal sebagai suara penghubung antara kerajaan dan rakyat melalui acuannya tersendiri tanpa mengetepikan identiti, adat serta budaya ketimuran masyarakat berbilang kaum di negara ini terus cemerlang dalam menyalurkan maklumat dan hebahan terkini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.