Astro AWANI Mohon Maaf Kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Kami merujuk kepada klip video infografik yang bertajuk Kronologi Siasatan dan Pendakwaan Terhadap Zahid Hamidi yang disiarkan pada 9 Mac 2021 di saluran Astro AWANI.

Pada segmen waktu 0:58-1:05 yang melaporkan prosiding-prosiding mahkamah yang telah dijalankan pada 4 Mac 2021, kami menerbitkan perkataan-perkataan:

“Mahkamah Tinggi mendapati terdapat pengeluaran dan kemasukan jumlah wang yang besar ke akaun syarikat membabitkan Ahmad Zahid tanpa aktiviti perniagaan.”

Sebenarnya, penerbitan tersebut sewajarnya merujuk kepada fakta bahawa mahkamah dimaklumkan mengenai dakwaan-dakwaan tersebut, bukan membuat keputusan mengenai dakwaan-dakwaan tersebut.

Kesilapan yang tidak sengaja ini adalah dikesali dan tiada niat untuk salah lapor prosiding tersebut. Kesilapan tersebut bersifat jujur.

Video itu telah dipadamkan dengan segera pada 10 Mac 2021 selepas kami mendapati kesilapan tersebut.

Kami dengan seikhlasnya dan sesungguhnya MEMOHON MAAF kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas kekhilafan penerbitan tersebut.

Penerbitan itu berkemungkinan telah menyampaikan suatu cadangan bahawa suatu keputusan telah dibuat oleh mahkamah mengenai dakwaan-dakwaan yang dikenakan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kami secara tegas menyatakan bahawa tiada keputusan telah dibuat oleh mahkamah.

Tiada sangkaan negatif berkenaan dengan nama atau reputasi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah diniatkan. – Astro Awani