Melaka Lancar RKK Bangunkan Sektor Pelancongan Di Ayer Keroh

MELAKA, 29 Mac – Kerajaan negeri Melaka hari ini melancarkan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Zon Pelancongan Ayer Keroh dalam usaha menaik taraf beberapa tempat pelancongan di kawasan berkenaan agar terus menggamit kunjungan pelancong.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata RKK Zon Pelancongan Ayer Keroh merupakan dokumen pemajuan yang disediakan bagi tujuan pelaksanaan segera dan dikategorikan sebagai RKK bagi kawasan berkeperluan khusus.

Beliau berkata RKK menghasilkan rancangan terperinci bagi kawasan yang mempunyai kepentingan khusus yang membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan tindakan pembangunan dengan kadar segera.

“Kos bagi kajian ini adalah RM500,000 yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui  PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan) manakala bagi kos publisiti pula dibiayai oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ),” katanya kepada pemberita pada sesi ‘soft launch’ RKK berkenaan di Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri Melaka Datuk Seri Dr Hasim Hasan dan Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata RKK Zon Pelancongan Ayer Keroh terletak di dalam Zon Pelancongan Utama Ayer Keroh yang berkeluasan 190.62 hektar meliputi Zoo  Melaka, Taman Botanikal, Dataran Sejarah, Tasik Ayer Keroh,  Taman Mini Malaysia dan Mini ASEAN, Taman Buaya dan Wonderland Park.

“Bagi memperkukuhkan dan menjadikan kawasan RKK sebagai sebuah pusat rekreasi terkemuka dengan adanya ikonik yang berunsurkan elemen botani, ekologi dan rekreasi keluarga, terdapat 42 cadangan pembangunan dimasukkan dan dipecahkan kepada tiga kategori iaitu sembilan projek berimpak tinggi, 14 projek utama dan 19 projek sokongan.

“Antaranya cadangan menaik taraf Dataran Sejarah dan cadangan menaik taraf Pintu Masuk Taman Botanikal, cadangan pencahayaan sekitar Ayer Keroh, cadangan menaik taraf Zoo Melaka, cadangan Hang Tuah Jaya Eco Bridge, cadangan menaik taraf Pintu Gerbang Melaka dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau berkata sesi ‘soft launch’ hari ini bertujuan memaklumkan kepada masyarakat tempatan khususnya berkaitan proses pameran dan publisiti yang berlangsung selama empat minggu bermula 27 Mac hingga 25 April depan di Zoo Melaka, Wisma Negeri dan MPHTJ.

Katanya segala pandangan dan bantahan boleh dikemukakan secara bertulis atau secara pautan di dalam talian sebelum ia diwartakan melalui peruntukan perundangan sebagaimana dinyatakan di dalam Subseksyen 15(6), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.