MB Hanya Laksana Tugas Ikut UUTKNS – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim hanya melaksanakan tugas beliau termasuk menandatangani proklamasi mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Ujarnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan telah diadakan kerana bekas MB, Datuk Seri Aminuddin Harun gagal melaksanakan tugas sebaiknya dan mencampuri urusan istana.

“Perkara ini (PRN) berlaku kerana Aminuddin telah mencampuri urusan istana. Apabila 14 exco atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan, maka terbubarlah kerajaan dan pilihan raya perlu diadakan kerana mereka tidak mahu menukar MB.

“Apabila kita menang dua pertiga dan sudah mengangkat sumpah sebagai MB serta melantik sepuluh orang exco… sepatutnya kerajaan negeri ini dapat berfungsi untuk memberikan kebaikan kepada rakyat.

“Kepentingan kita sebagai kerajaan negeri adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. Kita perlu melantik ketua kampung, melihat urusan pertukaran tanah, menentukan bajet pendidikan dan menguruskan pelbagai perkara berkaitan pentadbiran negeri. Siapa yang menjalankan tugas-tugas tersebut? Semestinya exco,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara secara langsung yang bertajuk ‘Derhaka Atau Tidak’ sempena Jelajah Mega Penerangan UMNO Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan, di sini, malam tadi.

Tambahnya, tidak pernah ada dalam sejarah Peguam Negara mahupun Kerajaan Persekutuan mencampuri urusan negeri.

“Mana ada sejarah Peguam Negara boleh campur tangan dalam urusan negeri? Seperti yang Profesor Shamrahayu jelaskan tadi, Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan tertentu di negeri.

“Sehingga hari ini, kemelut Negeri Sembilan tidak dapat diselesaikan. Menteri Besar hanya melaksanakan tugasnya, termasuk melaksanakan proklamasi mengikut UUTKNS.

“Ada dua perkara penting yang perlu kita faham. Negeri Sembilan bukan hanya mempunyai seorang pemerintah. Pemerintahannya bersama-sama dengan Undang Yang Empat, Tengku Besar Tampin dan Yang di-Pertuan Besar.

“Sebab itu, UMNO tidak campur tangan dalam urusan adat. UMNO hanya melihat bagaimana kita hendak menyelesaikan isu ini. Kita tidak boleh melayani satu pihak dan menolak pihak yang lain kerana UMNO mempunyai perlembagaan yang menjunjung Raja-Raja Melayu,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) komited untuk menjadi perantara bagi memastikan kemelut tersebut diselesaikan agar pentadbiran terbaik dapat dilaksanakan.

“Tetapi yang paling penting bagi UMNO ialah kita mahu mentadbir negeri ini berdasarkan mandat yang telah diberikan dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang mempunyai majoriti dua pertiga.

“Ini yang perlu diketahui. Tetapi ada pihak yang tidak mahu melayan perkara ini. Mereka merasakan kuasa itu milik mereka dan boleh menggunakan sesiapa sahaja untuk mendapatkan kelebihan bagi kepentingan mereka.

“Saya mahu tegaskan sekali lagi, exco perlu berfungsi. Kalau exco tidak berfungsi, kerajaan negeri tidak berfungsi. Kalau kerajaan negeri tidak berfungsi, yang akan merana ialah rakyat,” katanya lagi.

Turut hadir ke program tersebut ialah Naib Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, Pakar Perlembagaan, Datuk Profesor Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz dan barisan pemimpin UMNO dari Wilayah Persekutuan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO