PAU 2020 Lancar Biarpun Dipantau Ketat MKN, KKM

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19, Perhimpunan Agung UMNO 2020 berlangsung dalam norma baharu dengan dipantau ketat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Perhimpunan edisi kali ini juga berjalan dalam keadaan sederhana tanpa sambutan besar-besaran dan kibaran bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ di sepanjang jalan utama di Kuala Lumpur seperti tahun-tahun sebelumnya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata perhimpunan itu sangat menitikberatkan peraturan dan SOP termasuk mengamalkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

Beliau berkata setiap individu yang hadir diminta sentiasa mematuhi SOP ditetapkan termasuk wakil media ketika menjalankan tugasan mereka.

“Tahniah kepada wakil media yang mengikut SOP… kita lihat Perhimpunan Agung UMNO 2020 satu perhimpunan yang cukup baik,” katanya kepada pemberita ketika melawat laman media bagi Perhimpunan Agung UMNO 2020 di sini hari ini.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahadzir Khalid pula berkata ingatan demi ingatan diberikan kepada semua perwakilan supaya mematuhi apa sahaja peraturan yang ditetapkan.

“MKN dan KKM sentiasa membuat pemantauan… kita sendiri sentiasa memberi arahan (agar menjaga) penjarakan fizikal dan kita juga mohon aliran keluar dan masuk dewan kena ikut betul-betul,” katanya.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuantan Datuk Zaitun Mat turut menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana berjaya mengawal perhimpunan itu dengan baik.

“Walaupun negara dilanda pandemik COVID-19, kami rasa selamat menghadiri perhimpunan ini… SOP yang ditetapkan adalah untuk keselamatan kita bersama dan kami sentiasa diingatkan mengenai setiap aspek norma baharu,” katanya.

Kira-Kira 250 pengamal media ditempatkan di lokasi khas dengan jarak kedudukan satu meter dan diingatkan agar sentiasa memakai pelitup muka oleh pegawai MKN yang bertugas memantau SOP di pusat media.

Tidak seperti sebelum ini, pengamal media turut tidak dibenarkan berada di dalam dewan persidangan dan hanya mengikuti perbahasan dan majlis perasmian melalui skin layar digital yang disediakan serta laman sesawang UMNO Online.

Perhimpunan Agung UMNO 2020 diadakan secara hibrid yang menggabungkan kehadiran fizikal di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) dan secara maya di 191 bahagian seluruh negara kecuali Sarawak. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.