Perak Tinjau Kemungkinan Bina Lapangan Terbang Baharu

LENGGONG, 26 Mac – Pemanjangan landasan dan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu antara rancangan kerajaan negeri bagi menampung keperluan pelancong kesihatan dan permintaan dari kalangan pelabur dalam negeri.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata cadangan itu bagaimanapun bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan kerana kos perbelanjaannya yang tinggi.

Beliau berkata ini kerana Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh tidak dapat menampung pendaratan kapal terbang yang besar kerana landasan yang pendek.

“Kalau kita ingin panjangkan landasan lapangan terbang itu, kita terpaksa membayar pampasan yang tinggi kerana ia berdekatan dengan sekolah dan kawasan perumahan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kedai Bergerak Negeri Perak (KBNP) peringkat negeri di Arena Square Lawin semalam.

Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan berkata kerajaan negeri menyedari permintaan dari kalangan pelancong dan pelabur yang rata-rata jika diberi pilihan tidak mahu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlebih dahulu untuk ke Ipoh.

Beliau berkata bagi pelancong perubatan yang mahu mendapatkan rawatan di sini juga, mereka terpaksa turun di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Pulau Pinang untuk datang ke Ipoh.

“Kita ada kawasan yang perlu dikenal pasti dan pemilihan kawasan baharu itu kena betul,” katanya, namun beliau tidak mendedahkan lokasi yang dicadangkan.

Sebelum ini Perak pernah merancang untuk memanjangkan landasan LTSAS lagi 500 meter menjadikan keseluruhannya 2.5 kilometer (km).

Sementara itu, Saarani berkata 40 lokasi KBNP akan dilaksanakan di seluruh negeri ini dengan tujuan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19 mendapatkan barangan kering dan basah dengan harga yang murah dan menjimatkan berbanding di kedai lain.

Menurutnya, KBNP menawarkan harga murah dengan diskaun sehingga 25 peratus bagi membolehkan rakyat terutama di luar bandar dan di pinggir bandar yang hilang pendapatan dan pekerjaan membeli barangan keperluan dengan harga berpatutan.

“KBNP mendapat sumbangan daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang menjadi rakan penaja KBNP manakala Yayasan Bena Upaya (YBU) sebagai urusetianya,” katanya.

KBNP diwujudkan semula sebagai menggantikan Kedai Bergerak Amanjaya yang pernah diwujudkan pada 2014. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.