IPT Antara Pemain Utama Industri Fesyen Negara, Antarabangsa

SHAH ALAM, 25 Mac – Industri fesyen dijangka mampu memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara dalam jangka masa panjang dengan kelahiran pereka fesyen muda berbakat dari institusi pendidikan tinggi (IPT).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata IPT adalah antara pemain industri utama yang telah melahirkan ramai pereka berdaya saing dalam industri fesyen negara dan antarabangsa.

Beliau berkata sektor berkenaan turut membantu perkembangan industri kreatif di Malaysia yang menyumbang 1.9 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015.

“Industri ini juga telah menggaji sekitar satu juta orang serta berpotensi besar untuk berkembang dan memberikan sumbangan besar kepada ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Noraini hadir di pertunjukan fesyen Management & Science University (MSU) International Fashion Collection 2021, yang juga projek kolaborasi seni dan fesyen MSU dengan rakan institusi antarabangsa dari Jepun.

Penganjuran pertunjukan fesyen itu bermatlamat untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti pereka fesyen muda MSU di pentas peragaan.

Noraini berkata Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa menyambut baik penganjuran program sebegini yang secara langsung dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada para pelajar untuk bergiat aktif dan kreatif.

“Pandemik COVID-19 bukan sebagai satu alasan untuk kita tidak melaksanakan tugas dengan baik, malah pada hari ini pelajar-pelajar MSU telah membuktikan bahawa kreativiti mampu membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau yakin projek seni dan fesyen MSU dengan kolaborasi strategik antarabangsa dari Jepun ini, akan dapat memberi pendedahan besar kepada pelajar untuk menonjolkan bakat, inovasi serta kreativiti ke peringkat global. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.