Peningkatan Penganjuran Kejohanan Dapat Bangunkan Industri Esukan – Reezal Merican
PUTRAJAYA, 24 Mac – Peningkatan dalam penganjuran kejohanan sukan elektronik (esukan) di Malaysia dapat mengasah bakat dan kemahiran pemain baharu, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Katanya penganjuran kejohanan esukan yang giat dijalankan juga mampu menjadikan Malaysia sebagai hab pembangunan esukan di rantau ini.
Beliau berkata esukan telah menjadi fenomena global seiring dengan kemajuan teknologi dan komunikasi terkini, selain menjadi satu-satunya sukan yang tidak terjejas dengan pandemik COVID-19 sejak lebih setahun lepas.
“Industri ini bakal berkembang dengan lebih pesat dengan permintaan dan jumlah pemain di Malaysia telah direkodkan seramai 20.1 juta, yang membelanjakan hampir US$673 juta dalam permainan esukan pada 2019. Malaysia mendapat tempat ke-21 di peringkat global dalam pasaran industri pada tahun itu.
Industri ini dijangka meningkat sebanyak US$1.6 billion pada 2023. Pasaran esports ini sememangnya satu industri progresif dan menjadi persaingan yang sihat dan kuat di pasaran global,” katanya ketika pelancaran Kejohanan Siri Esukan Malaysia (MES) 2021 semalam.
Reezal Merican berkata berikutan golongan belia merupakan penerima manfaat utama kejohanan esukan tempatan, KBS mahu memainkan peranan yang lebih proaktif untuk membangunkan dan mengembangkan ekosistem esukans ke arah yang lebih positif dan inklusif.
Sementara itu, pengasas dan pemilik THQ Esports Club Aimanhaq Zaharudin selaku penganjur bersama MES, berkata esukan sedang berkembang dengan pantas menjadi industri memberikan pulangan lumayan bagi penggiat yang terlibat.
“Sebagai rujukan atlet esukan dari Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Ninja mampu meraih pendapatan sebanyak US$20 juta setahun bersamaan dengan hampir RM83 juta, manakala atlet tempatan juga tidak kurang hebatnya apabila pendapatan Soloz mencecah US$1.1juta (RM4.53 juta),” katanya.
Beliau berkata pihaknya menerima penyertaan lebih 2,000 pemain untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.
Kejohanan dianjurkan bersama oleh Kelab Esports THQ dan My Events International menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM20,000 untuk permainan FIFA2021, serta RM40,000 masing-masing bagi Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG). – BERNAMA