Fasa Satu Projek Pembentungan RM107.33 Juta Di Kota Marudu Dijangka Siap April Tahun Depan

KOTA MARUDU, 24 Mac – Projek Skim Pembentungan Kota Marudu Fasa 1 bernilai RM107.33 juta yang mula dilaksanakan oleh kontraktor Kimolohing Jaya Sdn Bhd pada Mei 2018 lepas, dijangka siap sepenuhnya April tahun depan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata 59.81 peratus daripada projek itu telah disiapkan, dan beliau berpuas hati dengan dengan kerja-kerja kontraktor berkenaan yang melaksanakan projek melakukan kerja dengan baik, malah proses pembinaannya berjalan lancar, melebihi sasaran yang ditetapkan

“Ini perlu dicontohi oleh kontraktor lain agar rakyat tidak terbeban dengan kelewatan untuk menyiapkan projek yang telah diperolehi, selain kerajaan tidak akan menanggung kerugian akibat ada projek yang terbengkalai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan projek berkenaan di sini yang termasuk dalam jadual lawatan kerjanya ke daerah Kota Marudu dan Pitas semalam.

Menurutnya projek itu bertujuan memberi kemudahan perkhidmatan pembentungan yang lebih efisen kepada penduduk di sekitar daerah berkenaan.

“Anggaran keseluruhan rangkaian paip bagi projek ini adalah sepanjang 13 kilometer dan anggaran ‘manhole’ sebanyak 207 unit, yang mana melalui jalan-jalan utama di pekan Kota Marudu,” katanya.

Mengulas mengenai lawatan kerjanya, Bung Moktar berkata beliau terperanjat apabila mendapat tahu bahawa hampir 60 kampung di kawasan Bengkoka dan Pitas belum menerima bekalan air bersih.

“Saya terkejut dengan maklumat itu dan saya terus mengarahkan pegawai daerah dan pihak berkaitan untuk membuat satu kertas kerja dan diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah kerana ia adalah di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

“Namun untuk penyelasaian jangka pendek, saya telah mengarahkan Jabatan Air Sabah untuk menyediakan tangki simpanan air di kawasan berkenaan secepat mungkin untuk kegunaan sementara,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.