Pemuda UMNO Bandar Tun Razak Gesa Tubuh Badan Khas Siasat Pemaju, Kontraktor

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Bandar Tun Razak pada Isnin malam membuat satu laporan polis di Balai Polis Salak Selatan, di sini mengenai tragedi kren jatuh dan menghempap pengguna jalan raya di kawasan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Tegas Ketuanya, Ashrul Ashryzad Mohd Nashri, Pemuda UMNO Bandar Tun Razak menggesa pemaju menghentikan kerja-kerja pembinaan di sektor terlibat tragedi meragut nyawa.

“Pemuda UMNO Bandar Tun Razak mencadangkan untuk diwujudkan satu badan khas bagi menjalankan siasatan terperinci setelah dua kali kejadian seumpamanya menimpa pengguna jalan raya. Adakah disebabkan masalah teknikal atau kelalaian pihak kontraktor,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, sebagai pengguna harian jalan raya, sudah tentu perasaan bimbang membelenggu saban hari kerana jalan berisiko ini merupakan laluan ulang-alik ke tempat kerja, sekolah dan urusan harian.

Justeru katanya, Pemuda UMNO Bandar Tun Razak juga ingin membuat gesaan agar pihak pemaju dan kontraktor dihadapkan ke muka pengadilan agar kejadian sama tidak akan berulang kembali. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.