KPT Agih 200,000 Pelan Data, 4,000 Peranti Kepada Pelajar B40 – Noraini

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengagihkan kira-kira 200,000 pelan data dan 4,000 peranti kepada pelajar kumpulan B40 menerusi Inisiatif Pakej Pelan Data dan Peranti bagi membantu mereka mendapat akses kepada pendidikan berkualiti semasa pandemik.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, inisiatif yang dilancarkan pada November 2020 itu merupakan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi serta syarikat telekomunikasi dan syarikat korporat lain bertujuan membantu meringankan beban penuntut yang memerlukan teknologi digital untuk menghadiri kuliah.

“Seramai 1.2 juta penuntut termasuk 130,000 pelajar antarabangsa terjejas apabila aktiviti pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dijalankan seperti biasa bermula Mac 2020.

“Kita tidak ada pilihan kecuali memanfaatkan teknologi digital bagi memastikan kesinambungan kelas. Ini dilakukan melalui Massive Open Online Learning, Open Educational Resources, Flipped Classroom Online dan banyak lagi,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Pendidikan dan Pembelajaran Kebangsaan 2021 di sini hari ini.

Menurutnya, bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran secara maya pasca-Covid-19, sebanyak RM50 juta telah diluluskan di bawah Belanjawan 2021 bagi menaik taraf projek Rangkaian Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia (MyREN) untuk membolehkan penuntut mendapat akses kepada liputan Internet yang lebih baik dan pantas.

​​​​Noraini berkata, pandemik itu juga menjejaskan kebolehpasaran siswazah dan KPT sentiasa mencari jalan untuk mengetengahkan siswazah agar mendahului pencari kerja yang lain melalui inisiatif seperti program Penjana KPT-CAP.

“Selepas selesai menjalani latihan, peserta berpeluang mendapat pekerjaan di tempat mereka menjalani latihan,” katanya.

Sidang kemuncak itu dianjurkan oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific dengan kerjasama Persatuan Kolej dan Universiti Swasta Malaysia (MAPCU) serta Persatuan Kebangsaan Institusi-Institusi Pendidikan Swasta (NAPEI). – BERNAMA