Tiada Lagi Dasar ‘Satu Dos Suntik, Satu Dos Simpan’ Percepatkan Proses Vaksinasi

PUTRAJAYA, 22 Mac – Malaysia tidak lagi menggunakan dasar ‘satu dos suntik, satu dos simpan’ seperti sebelum ini, bagi mempercepatkan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, vaksin sedia ada akan digunakan sepenuhnya kerana kerajaan berpuas hati dengan jadual penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech oleh syarikat pengeluar, dan ia akan membolehkan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan selesai lebih awal.

“Minggu ini, kita telah menarik balik polisi satu dos suntik, satu dos simpan, dan kita terus gunakan dos-dos tersebut dan tidak perlu untuk menunggu kepada penghantaran baharu sebelum menggunakan dos-dos tersebut.

“Dengan cara itu, kita akan boleh menamatkan fasa satu lebih awal dan memulakan fasa kedua lebih awal juga. Kadar vaksinasi pada ketika ini boleh naik sehingga 20,000 dos sehari, berdasarkan kepada penghantaran vaksin,” katanya pada sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, di sini hari ini bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Khairy berkata beliau akan mengadakan mesyuarat bersama Dr Adham, bagi menentukan tarikh fasa kedua program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula, yang akan diumumkan Isnin depan.

Khairy berkata, bilangan dos vaksin COVID-19 yang telah dihantar ke Malaysia setakat ini adalah 847,630 jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

Setakat ini, katanya 428,710 individu telah divaksinkan pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilaksanakan dalam tiga fasa bermula pada 24 Feb lepas, dengan dimulakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerima suntikan vaksin COVID-19.

Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 adalah bagi kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta Orang Kurang Upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022, untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Berhubung laporan media antarabangsa mengenai vaksin AstraZeneca adalah haram Khairy berkata, pihaknya akan mengkaji kandungan vaksin tersebut dan menyatakan pendirian mengenainya dalam masa terdekat.

Media di Indonesia melaporkan vaksin AstraZeneca tidak halal dari segi syariah dan Majlis Ulama Tertinggi Indonesia dalam laman webnya pada Jumaat, mendakwa vaksin itu ‘haram’ kerana proses pembuatannya menggunakan bahan daripada haiwan iaitu babi.

Mengenai perkembangan perolehan vaksin Dr Adham berkata, Malaysia setakat ini telah memuktamadkan perolehan vaksin sebanyak 60 peratus untuk kegunaan negara iaitu jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

“Malaysia sebelum ini membeli 12.8 juta dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan menambah tujuh juta dos lagi, yang meliputi 50 peratus populasi,” katanya.

Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) juga bersetuju membeli 12 juta dos vaksin jenis Sinovac ‘fill and finish’ daripada Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS), selain daripada 200,000 dos produk akhir dari Beijing.

Dalam perkembangan lain Dr Adham berkata, Malaysia telah mengesan 13,185 kes COVID-19 sporadik dalam tempoh dua minggu lepas, yang merupakan kira-kira 66 peratus daripada jumlah keseluruhan kes bagi tempoh tersebut, manakala 6,751 kes datangnya daripada kluster COVID-19 yang telah dikenal pasti. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.