KBS Serah Kepada MFL Bincang Harga Tiket Perlawanan

GEORGE TOWN, 22 Mac – Kementerian Belia dan Sukan(KSB) menyerahkan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk berbincang, sama ada terdapat keperluan untuk menaikkan harga tiket perlawanan bola sepak kepada penyokong, untuk menyaksikan perlawanan di stadium.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau yakin MFL akan membuat perbincangan berhubung perkara itu, termasuk sama ada sesuai atau tidak kenaikan harga tiket serta justifikasi jika terdapat perubahan harga.

“Saya serahkan kepada MFL untuk berbincang sama ada sesuai atau tidak kenaikan harga tiket perlawanan bola sepak, kerana sekarang ini tugasan utama saya ialah menyakinkan dan membawa kembali penyokong ke stadium.

“Soal kenaikan harga tidak menjadi perbincangan sekarang ini dan kalau ada perubahan pada tiket perlawanan, pada saya dalam keadaan sekarang ini biarlah harga tiket kekal seperti sedia ada…tapi perbincangan (harga tiket) itu saya serahkan kepada MFL, kerana mereka adalah penyelia kepada Liga Malaysia (Liga M) dan Liga Super,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar hari ini yang menyatakan penyokong terpaksa menanggung kenaikan tiket perlawanan pada kadar sekitar RM5 hingga RM10, selepas mereka dibenarkan untuk kembali menyaksikan perlawanan di stadium bermula bulan depan.

Ini selepas beberapa pasukan Liga M memberi bayangan untuk menaikkan sedikit harga tiket perlawanan daripada kebiasaan, untuk menampung kos tambahan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. – BERNAMA