Dana Permulaan RM10 Juta Bagi Bantuan Khas Kesan Mudarat Vaksin COVID-19

PUTRAJAYA, 22 Mac – Kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19 untuk rakyat Malaysia dan warga asing yang mendapat kesan sampingan serius setelah menerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bantuan khas itu dibahagi kepada dua kategori iaitu bantuan khas RM50,000 sekiranya berlaku kesan sampingan serius sehingga memerlukan rawatan berpanjangan di hospital dan RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan oleh vaksin COVID-19.

Beliau ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata dana permulaan itu adalah di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi tujuan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19.

“Bantuan khas ini adalah langkah proaktif kerajaan untuk menghadapi kemungkinan jika berlaku kesan sampingan (adverse effects) daripada penggunaan vaksin COVID-19,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, di sini hari ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.