Kerajaan Perak Sedia Buka PPV Tambahan – Saarani

GERIK, 21 Mac – Kerajaan negeri bersedia membuka pusat tambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Perak bagi membolehkan suntikan vaksin COVID-19 kepada lebih ramai orang sekali gus dapat menyelesaian proses vaksinasi sehingga hujung tahun ini.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata penambahan itu perlu agar proses vaksinasi di negeri ini dapat berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan.

“Kekangan sekarang adalah kita memerlukan tempat yang mempunyai kemudahan bekalan elektrik, pendingin hawa, tempat meletak kenderaan dan bilangan petugas.

“Sekarang ini, pemberian vaksin dilaksanakan dari 9 pagi hingga 9 malam. Jadi, kita perlu menambah masa sehingga 12 tengah malam supaya bilangan orang yang menerima suntikan vaksin boleh ditambah,” katanya pada sidang media selepas program Moh Mengopi sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) di Kampung Tawai di sini hari ini.

Setakat ini terdapat 31 PPV di Perak.

Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin dilapor berkata PPV berskala besar sedang dirangka di semua negeri dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan ia dicadang untuk program vaksinasi fasa ketiga yang melibatkan lebih ramai penerima vaksin.

Saarani percaya perkhidmatan petugas sokongan dan sukarelawan seperti Ikatan Sukarekawan Malaysia (Rela), mahasiswa, belia dan Persatuan Pengakap akan membantu melicinkan proses vaksinasi itu berikutan penambahan PPV.

“Apabila penambahan PPV, kita juga akan berdepan kekurangan petugas. Namun, sukarelawan yang ada ini akan membantu melengkapkan kekurangan petugas di PPV tambahan mengikut tugasan yang bersesuaian bagi melancarkan pemberian suntikan vaksin,” jelasnya. – BERNAMA