Dasar Perhutanan Malaysia Jadi Rujukan Dasar Hutan Negeri-negeri – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Dasar Perhutanan Malaysia akan menjadi rujukan dan panduan kepada dasar-dasar perhutanan negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata penggubalan dasar tersebut merupakan manifestasi komitmen negara dalam melaksana pengurusan hutan secara berkekalan.

“Ia merupakan agenda utama di dalam negara dan juga prinsip dipegang di peringkat antarabangsa,” katanya dalam ucapan aluan sempena majlis pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2021 di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia di sini hari ini.

Shamsul Anuar berkata Dasar Perhutanan Malaysia telah dipersetujui semua kerajaan negeri pada mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-78 pada 29 Jan lepas.

Beliau berkata dasar tersebut telah melalui proses rundingan antara tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak sejak 2016.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat tersebut juga bersetuju dengan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia bagi menggantikan Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992) yang terpakai di Semenanjung.

“Ketiga-tiga dasar perhutanan wilayah iaitu Dasar Hutan Sabah, Dasar Hutan Sarawak dan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia yang memberi tumpuan kepada pengukuhan pengurusan hutan secara berkekalan menjadi sebahagian daripada Dasar Perhutanan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata selain daripada pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia, kementerian juga berjaya melaksana beberapa pencapaian dalam sektor perhutanan walaupun negara bergelut dengan pandemik COVID-19.

Antaranya ialah Agenda Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 juta Pokok dan penanaman 18.75 juta pokok di seluruh negara pada 2020.

Selain itu, pencalonan Bukit Bendera, Pulau Pinang sebagai tapak rizab biosfera di bawah program Man and the Biosphere (MAB), UNESCO; pencalonan Taman Negara Johor Endau Rompin sebagai ASEAN Heritage Park ke-4 di Malaysia serta penghantaran pulang sembilan ekor Orang Utan ke Indonesia selain penetapan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) untuk negeri-negeri bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Beliau juga memberi jaminan komitmen kerajaan bahawa pelbagai inisiatif dan program mengenai pemuliharaan hutan dan biodiversiti akan terus dipergiat, diperbaiki dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

“Tumpuan khusus akan diberikan kepada Agenda Nasional Penghijauan Malaysia bagi meningkatkan pemuliharaan hutan menerusi aktiviti penanaman pokok, rehabilitasi dan restorasi kawasan hutan terosot dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri di bawah Rancangan Malaysia ke-12,” katanya.

Beliau juga mengulangi komitmen kerajaan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok sepertimana diikrarkan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992.

Katanya, litupan kawasan berhutan di Malaysia pada masa ini ialah 55.3 peratus yang meliputi kawasan seluas 18.27 juta hektar daripada keluasan tanah negara.

“Justeru, keluasan kawasan berhutan ini wajar dipelihara dan dipulihara oleh kita semua,” katanya. – BERNAMA