PKPD Di Kampung Serumah, Sarawak Tamat Esok Mengikut Jadual

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Serumah, Siburan, Bahagian Serian, Sarawak akan ditamatkan esok seperti dijadualkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko COVID-19 oleh pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 462 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 27 kes telah direkodkan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seramai 52 individu telah ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 36 dikompaun manakala 16 lagi direman.

Rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran serta tiada penjarakan fizikal merekodkan jumlah kes tertinggi, masing-masing melibatkan 12 individu tidak memakai pelitup muka (11) diikuti premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (11), gagal menyediakan peralatan merekod diri pelanggan (tiga) dan aktiviti perjudian (tiga).

Dalam Operasi Benteng semalam, seramai 26 pendatang tanpa izin (PTI) ditangkap dan 10 kenderaan darat serta empat bot atau kapal dirampas manakala tujuh PTI telah diusir.

Selain itu, satu tapak binaan diarah tutup serta-merta selepas pemeriksaan oleh anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di 28 tapak binaan di seluruh negara.

Bagi saringan pekerja asing pula, seramai 3,252 individu telah menjalani saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 22 orang didapati positif.

Secara kumulatifnya, seramai 634,082 pekerja asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 setakat ini melibatkan 32,809 majikan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.