Pembangunan Iskandar Puteri Diharap Dapat Dipacu – MB

JOHOR BAHRU, 19 Mac – Kerajaan negeri berharap pelantikan Datuk Bandar Iskandar Puteri yang baharu akan dapat ‘menyuntik’ kembali pembangunan di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu, dengan lebih pesat lagi selepas negara dilanda pandemik COVID-19.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata ia antaranya melibatkan potensi pelancongan serta pelaburan khususnya di kawasan taman tema Legoland serta Medini, supaya pembangunan itu selari dengan kewujudan infrastruktur baharu seperti Iskandar Malaysia Bas Rapid Transit (IMBRT).

Beliau berkata dalam Belanjawan 2021, kerajaan persekutuan telah menyalurkan peruntukan RM780 juta kepada Johor, dengan sebahagian daripadanya bagi IMBRT, yakni projek pengangkutan awam yang bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan, malah turut akan merangsang ekonomi setempat dan mengurangkan kos sara hidup penduduk.

Berucap di Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Datuk Mohd Haffiz Ahmad sebagai Datuk Bandar Iskandar Puteri yang ketiga di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Skudai, di sini, semalam, katanya beliau juga berharap MBIP dapat merangka Pelan Digital tersendiri bagi melengkapi Agenda Johor Digital yang sudah pun dilaksanakan sebagai ekonomi masa depan Johor.

“Ini penting bagi memberi dimensi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat seiring dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Johor sebagai hab nasional dan serantau dalam sektor pelancongan, perkhidmatan dan industri berteknologi tinggi,” katanya.

Berhubung pelantikan tersebut, Hasni percaya pengalaman luas Mohd Haffiz dalam tadbir urus kerajaan negeri akan dapat membantunya membentuk dan menggubal dasar serta merancang dan mengawasi pelaksanaan program pembangunan di peringkat PBT. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.