Dr Adham, Mohd Zuki Terima Suntikan Dos Kedua Vaksin COVID-19

PUTRAJAYA, 18 Mac – Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini melengkapkan suntikan dos kedua vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech.

Turut menerima suntikan dos kedua itu di Klinik Kesihatan Presint 18 di sini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah bersama tiga petugas barisan hadapan kementerian iaitu Tawfik Adnan yang bertugas sebagai pemandu, Farid Md Ithnin, Pembantu Kesihatan Awam di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya dan Yusniza M Yusof, jururawat di Klinik Kesihatan, Presint 11.

Suntikan dos kedua itu dilakukan selepas 21 hari kesemua mereka menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan pada 25 Feb lepas.

“Kesemua yang menerima suntikan hari ini telah melengkapkan pengambilan vaksin COVID-19 dan menerima ‘My COVID-19 Vaccination badge’ selain sijil digital menerusi aplikasi MySejahtera,” menurut hantaran di laman sosial Facebook KKM hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Presint 18 bersama-sama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan empat petugas barisan hadapan KKM.

Hari ini merupakan hari ke-22 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sejak bermula pada 24 Feb lepas dan setakat semalam, sejumlah 367,000 sudah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.