PKPD Dua Rumah Sewa Di Sarawak Dilanjut Hingga 25 Mac – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rumah Sewa Anong dan Ruma Sewa Baverly Hills di Bintulu, Sarawak yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan hingga 25 Mac ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan masih berlaku penularan kes melibatkan kalangan penduduk di rumah sewa terbabit.

“Hingga kini, KKM telah melaksanakan 1,407 ujian saringan, dan daripada jumlah itu 85 kes positif COVID-19 telah direkodkan. KKM juga telah melaksanakan ujian saringan kedua COVID-19 dan masih lagi menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP hari ini.

Mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP pula, Ismail Sabri berkata seramai 125 individu ditahan semalam kerana ingkar SOP dengan 111 dikenakan kompaun dan 14 lagi direman.

Beliau berkata rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran merupakan kesalahan tertinggi melibatkan 43 individu diikuti tidak memakai pelitup muka (29), gagal menyediakan peralatan serta merekod diri dan pelanggan (28) serta tidak mengamalkan penjarakan fizikal (11).

Selain itu, Ismail Sabri berkata 24 pendatang tanpa izin ditangkap serta sebuah kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng semalam.

Bagi saringan pekerja asing pula, beliau berkata hingga semalam, seramai 3,567 orang telah menjalani ujian saringan dan 35 daripadanya disahkan positif COVID-19.

Secara kumulatif, seramai 627,010 pekerja asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 setakat ini melibatkan 32,425 majikan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.