Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri Dan Solat Terawih Dibenarkan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri dibenarkan beroperasi di seluruh negara bagi menyambut ketibaan Ramadan pada tahun ini.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut memaklumkan solat terawih juga dibenarkan.

“Setelah berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM), kita membenarkan ketiga-tiga aktiviti ini mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) ketat,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Bagi SOP Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri, beliau berkata peniaga serta pengunjung perlu mematuhi SOP termasuk jarak antara gerai, pintu masuk dan keluar berbeza, mengimbas suhu, aplikasi MySejahtera serta SOP lain yang ditetapkan.

SOP itu akan dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri masing-masing.

Waktu operasi Bazar Ramadan ialah dari 3 petang hingga 8 malam manakala bagi Bazar Aidilfitri pula, dari 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Bagi solat terawih secara berjemaah di masjid dan surau di seluruh negara, jumlah kehadiran jemaah adalah tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pergerakan keluar masuk pelajar dari kawasan universiti atau institusi pendidikan pula tertakluk kepada kebenaran pihak institusi terbabit.

“Memang mereka ada kuasa autonomi demi menjaga keselamatan pelajar sama seperti pengurusan kediaman, jika ada sekatan keluar pelajar atau masuk orang luar, universiti berhak untuk mengadakan peraturan ketat demi menjaga keselamatan pelajar,” katanya. – BERNAMA