Tiada Permohonan Kerja-Kerja Pemanjangan Jeti Pelabuhan Di Tanjung Bruas – Sulaiman

MELAKA, 14 Mac – Kerajaan negeri Melaka tidak menerima permohonan bagi pelaksanaan kerja-kerja pembinaan atau pemanjangan jeti pelabuhan di Tanjung Bruas, di Tanjung Kling berhampiran Jeti Nelayan Kampung Hailam di sini, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Justeru beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berkaitan dakwaan pelaksanaan projek berkenaan oleh kumpulan nelayan di kawasan tersebut, melibatkan pihak pengurusan pelabuhan berkenaan, Tanjung Bruas Port Sdn Bhd dan Kumpulan Melaka Berhad (KMB).

“Setakat hari ini, dalam pengetahuan saya tiada pula permohonanan atau pelaksanaan jeti sepanjang 600 meter di kawasan tersebut. Projek ini agak besar sekiranya ia melibatkan jarak 600 meter seperti yang didakwa nelayan.

“Projek ini perlu mendapatkan kebenaran dan perancangannya mesti dibawa ke pengetahuan kerajaan negeri, selain kelulusan daripada pihak berwajib yang lain seperti Jabatan Laut serta banyak keperluan perlu diambil kira sekiranya projek ini hendak dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Surau Jumaat Ar-Raudah pada Program Silaturahim Ketua Menteri Melaka Bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri Paya Rumput, di Taman Paya Rumput Perdana di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek tersebut perlu mematuhi Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), sekali gus memastikan tidak menjejaskan aktiviti penangkapan ikan nelayan di sekitar kawasan terlibat.

Katanya selain itu, setiap projek yang ingin dibangunkan di kawasan perairan, perlu mengambil kira pandangan nelayan di kawasan terlibat, selain taklimat terperinci berkaitan projek perlu dijelaskan kepada mereka serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang terbabit.

Dua hari lepas, media melaporkan lebih 300 nelayan di perairan Tanjung Kling gusar, dengan pelaksanaan projek penambakan laut dan pembinaan jeti pelabuhan berhampiran Jeti Nelayan Kampung Hailam, sejak awal bulan ini.

Kumpulan nelayan tersebut gusar projek pembinaan jeti pelabuhan sepanjang 600 meter bermula di Tanjung Bruas itu didakwa, menyukarkan nelayan turun ke laut sekali gus menjejaskan mata pencarian mereka. – BERNAMA