292,104 Sudah Terima Vaksin COVID-19, Selangor Tertinggi – Adham

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Memasuki hari ke-19 pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula sejak 23 Feb lepas, seramai 292,104 individu telah menerima suntikan dos pertama vaksin di seluruh negara setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan tiga negeri mencatatkan jumlah tertinggi individu yang menerima dos pertama vaksin tersebut iaitu Selangor (35,620), Perak (31,675) dan Sarawak (30,634).

“Pecahan mengikut negeri lain masing-masing ialah Kuala Lumpur (28,244); Pahang (25,128); Sabah (24,042); Johor (21,835); Kedah (17,114); Pulau Pinang (16,255); Kelantan (15,339); Terengganu (13,070); Negeri Sembilan (12,209); Melaka (7,963); Perlis (6,807) dan Labuan (2,342),” katanya dalam satu infografik yang dikongsikan di laman Facebook rasminya hari ini.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari sehingga April ini akan melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan negara termasuk petugas kesihatan.

Ia akan diteruskan bagi fasa kedua yang dijangka April hingga Ogos tahun ini melibatkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain orang kelainan upaya.

Sementara fasa ketiga dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 untuk kumpulan individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.