Mindef Sasar Bina 25,000 Unit Rumah Warga, Veteran ATM – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Kementerian Pertahanan (Mindef) menyasarkan pembinaan sebanyak 25,000 unit rumah untuk warga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah program ‘Satu Anggota Satu Rumah’ (SAsaR) yang dijangka siap pada 2030.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesemua unit rumah berkenaan akan dibina di tiga lokasi iaitu di kem Transmitter di Sungai Besi, Kem Genting Klang dan Kem Wardieburn, di sini.

Beliau berkata SAsaR adalah satu daripada program dalam teras kebajikan Mindef bagi menjamin keselamatan dan kebajikan warga dan veteran ATM agar mereka dapat menumpukan perhatian kepada tugasan hakiki.

“Program SAsaR adalah untuk setiap anggota dan veteran ATM memiliki rumah sendiri sebelum mereka bersara daripada perkhidmatan ATM.

“Sebagai permulaan projek. SAsaR akan dimulakan di Sungai Besi dengan sejumlah 3,500 unit rumah jenis pangsapuri akan dibina,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi pembangunan projek SAsaR di Satria Residensi, Sungai Besi, di sini.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan projek SAsaR di Sungai Besi ini menggunakan konsep kerjasama dengan pihak swasta di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi kegunaan tentera darat.

Projek pembinaan ini dinamakan Satria Residensi Sungai Besi dan dimajukan oleh Pembinaan Serta Hebat Sdn Bhd.

“Satria Residensi akan dibina di atas tanah Kem Transmitter berkeluasan 23.11 ekar (9 hektar) dengan pajakan tanah selama 99 tahun.

“Ia mempunyai tiga jenis perumahan iaitu jenis A bilangan 1,800 unit berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan harga RM150,000 manakala jenis B bilangan 1,200 unit berkeluasan 1,100 kaki persegi dengan harga RM199,000,” katanya.

Jenis C pula terdiri daripada 500 unit berkeluasan 1,200 kaki persegi dengan harga RM250,000.

Beliau berkata Mindef akan terus komited untuk memastikan isu berkaitan perumahan anggota dan veteran ATM sentiasa menjadi keutamaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.