Johor Teliti Cadangan Naik Taraf Kemudahan Di Jeti Terminal Antarabangsa Kukup

PONTIAN, 13 Mac – Kerajaan Negeri Johor sedang meneliti cadangan untuk menaik taraf Jeti Terminal Feri Antarabangsa Kukup dekat Pontian bagi merancakkan ekonomi masyarakat setempat.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri sedang meneliti pelbagai kemudahan lain dalam usaha menjadikan Kukup sebagai mercu tanda pelancongan yang setanding dengan pintu-pintu masuk lain di negeri ini.

Beliau berkata pelbagai kemudahan turut boleh dimajukan di kawasan itu antaranya kompleks bebas cukai dan hotel.

“Mungkin kami akan tambah lagi, bukan sekadar kompleks untuk kastam dan imigresen sahaja, sepatutnya ada kemudahan untuk kegunaan yang lain.

“Kalau jeti di sebelah Desaru (Kota Tinggi) dicadangkan untuk dijadikan zon bebas cukai, kenapa tidak di Kukup? Kalau di pintu masuk lain ada kemudahan penginapan tiga hingga lima bintang, mengapa tidak di Kukup?” katanya.

Hasni berkata demikian pada majlis penyampaian keputusan permohonan pembayaran lesen pendudukan sementara (TOL) bagi penternak ikan sangkar di Kukup, dekat sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata semua usaha berkenaan akan dilakukan tanpa mengubah tarikan sedia ada di kawasan Kukup yang terkenal dengan industri penternakan ikan dalam sangkar. – BERNAMA