TNB Bantu 8,650 Murid B40 Melalui Program Ceria Ke Sekolah

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Seramai 8,650 murid daripada keluarga B40 di Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah menerima bantuan kelengkapan persekolahan menerusi program Ceria ke Sekolah (CKS), Tenaga Nasional Berhad (TNB).

TNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan kos keseluruhan bagi sumbangan untuk tiga negeri itu bernilai RM865,000 atau RM100 setiap murid dan jumlah itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM3 juta yang diluluskan untuk program CKS tahun ini.

“Sebahagian besar peruntukan untuk program itu diagihkan Pengerusi TNB Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk majlis penyerahan CKS peringkat negeri pada 28 Feb lalu di Kota Bharu, Kelantan; Georgetown, Pulau Pinang (3 Mac); dan Padang Terap, Kedah (7 Mac).

“Penyerahan sumbangan untuk negeri lain sedang diaturkan TNB bersama pihak yang berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Mahdzir berharap bantuan itu dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi keluarga kurang berkemampuan dalam membuat persediaan anak mereka ke sekolah, terutama berikutan pandemik COVID-19.

“Sekurang-kurangnya, pelajar-pelajar yang dibantu dapat ke sekolah dengan kelengkapan serba baharu untuk sesi persekolahan baru bermula bulan ini, tanpa membebankan ibu bapa mereka.

“Kami juga bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mengenal pasti ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai agar bantuan dapat diberikan. Kalau keluarga itu ada enam anak yang bersekolah, sekurang-kurangnya kami boleh bantu seorang atau dua orang daripada mereka,” katanya.

Sejak pelaksanaannya pada 2013, program CKS TNB telah membantu 36,018 keluarga dengan jumlah sumbangan RM7.5 juta di Semenanjung Malaysia dan Sabah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.